Wednesday 29 October 2014

Amal Jariah Saham Akhirat Kita.



1. Hadith daripada Abu Hurairah ra, katanya : Aku dengar Rasulullah saw bersabda : “Jangan kamu tolak orang yang meminta walaupun dia kafir.” Kata seorang sahabat : Ya Rasulullah! Bahawa kami bersedekah dengan sesuatu dari harta kami kepada orang kafir : Jawab Nabi : “ Bahawa mereka adalah makhluk Allah, sebenarnya sedekah itu jatuh pada tangan kudrat Tuhan yang Rahman.”


2. Malaikat berseru : Hai Tuhanku! Segerakanlah gantikan harta orang yang bersedekah dan segerakanlah bala bagi orang yang enggan ( bakhil ) bersedekah hartanya . (Al-Hadith)

3. Sedekah bersembunyi itu memadamkan kemarahan Tuhan dan sedekah berterang-terangan itu pengadang neraka. (Al-Hadith)

4. Kata ulama : Sedekah itu 10 kepujian, lima di dunia dan lima di akhirat .

Lima di dunia 
- Mencucikan hartanya
- Mencucikan badannya
- Menolak bala dan penyakit
- Menggembirakan orang miskin dan mengembirakan orang mukmin adalah semulia-mulia amal .
- Berkat hartanya dan diluaskan Allah rezekinya .

Lima di akhirat :
- Dinaungkan Allah orang yang bersedekah di hari Qiamat ketika sangat panas
- Ringan hisabnya
- Berat timbangannya (amalan) di akhirat
- Mudah melalui titian Siratal-Mustaqim
- Bertambah darjatnya di dalam syurga

5. Sedekah itu menutup tujuh puluh pintu kejahatan
(Al-Hadith )

6. Takutlah neraka walaupun dengan bersedekah sebelah kurma, kiranya tidak berupaya, maka bercakaplah dengan perkataan yang baik (menjadi sedekah juga bagimu ) (Al-Hadith)

7. Bersedekahlah kamu ke atas dirimu dan atas orang yang mati daripada kamu walaupun dengan semangkuk air. Kalau tiada berkemampuan, bacalah satu ayat Kitab Allah, kalau tidak tahu membacanya, maka berdoalah kamu kepada mereka dengan minta diampuni dan dirahmati Allah kepada mereka .

8. Jangan menghinakan berbuat kebajikan (sedekah) walau sedikit sekalipun. Bersedekahlah pada awal-awal hari, kerana bala itu tiada melangkah ia akan sedekah. Apabila datang peminta sedekah kepadamu, janganlah ditolak akannya dengan jahat walaupun sedikitpun. Berbahasalah dengan manis muka. Jangan mencaci dan menengking kepada peminta sedekah, kerana dosamu menyakiti hatinya lebih besar dosanya daripada pahala sedekahmu itu separuh daripada hartamu. Dan jangan kamu menolak orang yang mula-mula meminta padamu itu, kerana kadang-kadang datang kepadamu itu bukan manusia, hanya jin hendak melihat betapa kamu lakukan pada barang yang diberi Allah daripada nikmatNya (rezeki) kepadamu .

9. Barangsiapa menengking kepada peminta sedekah nescaya ditengking akannya oleh Malaikat pada hari Qiamat . (Al-Hadith)

10. Maskahwin bidadari itu (sedekah) segenggam buah kurma dan sebelah roti (Al-Hadith)

11. Tiada kurang harta dari sedekahnya itu. (Di dunia ditambah berkat hartanya dan menolak bala, di akhirat diberi pahala, diampun dosanya dan dikurniakan Syurga ) (Al-Hadith)

12. Sabda Nabi saw :

“ Sedekah itu adalah sesuatu yang amat besar.”diulangi oleh Nabi tiga kali.

13. Sedekah menolak bala dan memanjangkan umur ( Al-Hadith )

14. Dari sebuah Hadith mengisahkan : Bahawa seorang membuat jamuan (kenduri) maka Allah menyuruh dating Malaikat empat puluh hari sebelum diadakan jamuan. Malaikat itu merupakan burung putih, dua sayapnya panjang di antara masyriq dan maghrib. Dia berhenti di pintu rumah, lalu menyeru ahli rumah, lalu dijawab oleh Jibril : Apa maksudmu dengan ahli rumah itu? Maka jawab Malaikat itu : Aku diutus oleh Allah kepada ahli rumah ini untuk menggembirakan mereka bahawa jamuan (kenduri) mereka pada hari…. Inilah rezeki bersamaku dari syurga dan bersama burung itu surat termetri pada mulutnya. Bertanya Jibril : Surat apakah ini? Jawabnya : Di dalamnya tertulis mereka ahli rumah itu terlepas daripada neraka. Lalu diambil oleh Jibril surat itu dan dibukanya –tertulis di dalamnya : “ Allahul Wahidul Qahhar melepaskan ahli rumah daripada api neraka . Bagaimana, adakah menggembirakan engkau? Jawab Jibril : Ya, menggembirakan aku-gembira Jibril dan bercahaya mukanya kerana umat Nabi Muhammad saw terlepas daripada api neraka. Kata Jibril : Allah utuskan aku, bahawa aku tulis bagi mereka beberapa kebajikan, aku gugurkan mereka beberapa kejahatan, aku angkatkan mereka beberapa darjat sehingga berhenti jamuan itu. Maka Allah ampunkan dosa-dosa mereka yang hidup dan yang mati dari ahli rumah itu dan yang hadir dalam jamuan itu .
(dari kitab Raudhul Ulama’)

15. Orang yang taat kepada Allah dengan lidahnya dan taat kepada ibu bapanya, tetapi bakhil- ia tiada bersedekah, maka ia diazab atas dosa bakhilnya di akhirat. Dia dimasukkan ke dalam neraka .

16. Berfaedah sedekah apabila sedekahnya daripada harta yang halal, maka diampunkan dosanya, diberi pahala kepadanya, dilepaskan daripada bala, dilepaskan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Apabila ia bersedekah dengan harta yang haram tiadalah apa-apa faedah baginya melainkan azab Allah ke atasnya, kerana memberi yang haram kepada orang. Bersabda Nabi saw :
“ Di dalam neraka jahanam ada sebuah rumah yang bernama ‘Baitul Huzni’ disediakan oleh Allah bagi orang yang bersedekah daripada harta haram.” ( Al-Hadith )

17. Telah bersabda Nabi saw :
“ Orang yang memberi makan atau sedekah dengan satu suap daripada yang haram maka Allah akan memberi kepadanya daripada besi yang dihancurkan daripada api neraka jahanam hingga cair seperti air. Apabila dimakannya putuslah isi perutnya. Masuk makanan itu daripada mulutnya, keluar daripada duburnya. Maka berserulah Malik Zabaniah : Inilah balasan orang yang berusaha mendapatkan rezeki yang haram dan memakan ia daripadanya dan bersedekah ia daripadanya.” (Al-Hadith)

18. Yang lebih afdal bersedekah ialah barang yang disayanginya. Firman Allah Taala : “ Tidak kamu peroleh kebajikan sehingga kamu belanjakan (sedekah,hadiah) dari apa yang kamu sayangi .”
( Al-Quran )

Tuesday 9 September 2014

Qurban 1435H/2014


Program Qurban anjuran ATAQWA kini kembali bagi membantu golongan kurang berkemampuan dan saudara baru di perkampungan terpilih di Sabah dan Sarawak. Jangan lepaskan peluang beramal dengan memberi peluang kepada saudara kita untuk turut sama menikmati kemeriahan Aidiladha ini.
Klik untuk dapatkan Borang Qurban di sini.

Tuesday 11 February 2014

POST-Program Dakwah Bergerak di Pendalaman Sabah


Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu laki-laki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling tinggi taqwanya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”       (Al-Hujurat : 13)

Syukur Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T Tuhan sekalian alam dengan  nikmat Iman dan Islam yang tidak terhitung nilainya. Tanpa Iman dan Islam, hidup kita berlalu tanpa arah tuju. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah S.W.T. Akan tetapi kita sebagai Muslim asal wajib menjaga nikmat Iman dan Islam. Di samping itu wajib juga kita melakukan kerja dakwah kepada non muslim mengikut kemampuan masing-masing. Sebagaimana saranan Baginda Rasulillah S.A.W dalam sabda baginda yang bermaksud, “Sampaikanlah dariku walau satu ayat.” (hadith riwayat Bukhari). Sabda baginda lagi, “Sebaik-baik kamu ialah manusia yang mendatangkan manfaat.” Terpanggil dengan seruan Baginda ini, Akademi Tahfiz Al-Quran Wal Hadith (ATAQWA) dengan kerjasama Pertubuhan Dakwah dan Kebajikan Sosial Islam Malaysia (PERDIM Malaysia) menjalankan aktiviti dakwah bergerak di mana  kumpulan sasaran masyarakat saudara baru di pendalaman di Sabah.




Program Dakwah Bergerak ini diasaskan oleh Ustaz Haji Mohd. Farhan Abdullah al-Hafiz, Pengarah ATAQWA merangkap Pengerusi PERDIM Malaysia dan pendakwah Islam yang aktif. Beliau yang merupakan bekas penganut agama Kristian di mana ayah beliau ialah bekas ketua gereja. Sepanjang saya mengenali beliau, kegigihannya dalam kerja-kerja dakwah ini sehingga beliau berjaya mengislamkan mak dan ayah serta seluruh keluarga. Bukan itu sahaja, beliau telah berjya mengislamkan hampir 2000 orang dan telah berjaya medirikan 3 buah sekolah tahfiz.
Beliau pernah memegang jawatan Ketua Cawangan PAS Bangi Perdana dan Ketua Penerangan PAS Kota Belud, Sabah. Tetapi, beliau kini menumpukan sepenuhnya kepada kerja-kerja dakwah dan pendidikan di mana matlamat kami setiap kampung dan daerah yang kami pergi ada satu surau dan ada kelas tahfiz. Dan kami melatih seorang wakil dari anak-anak temptan untuk belajar di madrsah dan dihantar belajar di mana-mana institusi pondok di semenanjung agar dia menjadi pendawkah yang akan pulang berdakwah di kampung mereka. Saya banyak membantu kerja-kerja dakwah islahiyah ini bersama beliau khususnya di pendalaman  sabah. Selepas ini kami ke Sarawak insya Allah.


Kumpulan halaqah dibentuk di mana peserta di ajar asas-asas ilmu Aqidah, asas-asas Akidah, Ibadah & praktikal solat
Program Dakwah Bergerak yang telah bermula sejak tahun 2005  lagi iaitu sekembalinya beliau dari belajar di Univesiti al-Azhar, Mesir memberi fokus kepada dakwah Islamiah dan Islahiah kepada saudara-saudara Muslim yang baru dan lama. Penekanan diberi dari aspek Aqidah dan Ibadah harian.

Program kerja-kerja dakwah ini  yang dimulakan dengan sambutan Qurban pada 15 Oktober 2013 lalu di 12 buah kampung pedalaman di dalam daerah Kota Belud, Sabah. Kemudian kami mengumpul mereka untuk solat Hari Raya dan penulis telah memberi khutbah dan ceramah. Penulis dapat melihat bahawa ilmu Islam tak sampai ke atas mereka kerana kekurangan daie tempatan.

Penulis menyembelih lembu Qurban pada sambutan Hari Raya Qurban di Kampung Kebidahan

Pengalaman penulis mengetuai rombongan itu benar-benar membuka mata. Jika di Semenanjung gerakan dakwah lebih berbentuk majlis-majlis Ilmu di masjid-masjid, di sini para daie perlu turun sendiri ke dalam kawasan masyarakat yang tinggal di perkampungan yang perjalanannya memakan masa selama berjam-jam. Dan kampung-kampung ini terletak betul-betul di pendalaman. Ada yang di atas puncak bukit, ada yang nun di bawah kaki gunung, dan ada juga yang di tengah-tengah hutan.
Sahabat saya, Ustaz Hafizul Fikry  yang menyertai bersama ibubapa beliau yang baru pertama kali sampai ke Sabah sempat merasai pengalaman turun dan mendaki bukit yang curam di dalam hujan, menyeberangi jambatan di sungai yang deras untuk ke Kampung Lobong-Lobong (Kubur-Kubur) yang terletak betul-betul di puncak bukit.
Di dalam program ini, sesampainya kami di perkampungan program yang pertama ialah ziarah orang kampung rumah ke rumah menjemput mereka ke surau atau masjid berdekatan diikuti dengan taaruf di sana. Selepas solat Asar berjemaah, mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu halaqah wanita dewasa, lelaki dewasa, kanak-kanak dan remaja lelaki dan perempuan. Tajuk perbincangan ialah asas-asas Islam bekisar tentang tauhid, feqah, toharah, fiqh amali berwudhu’ dan praktikal solat berjemaah iaitu seorang imam dan para makmum. Tujuannya ialah utk membetulkan solat mereka yang mana walaupun sudah bertahun-tahun memeluk Islam, masih tidak tahu solat dan merangkak dalam bacaan al-Fatihah.
Setelah itu diadakan sesi tazkirah dan soal jawab dan diakhiri dengan zikir munajat dan jamuan makan. Sedikit sumbangan diberikan hasil kemurahan hati para penyumbang dari Semenanjung sepanjang kami melancarkan tabung derma jihad di program ceramah kami di masjid-masjid.
Satu perkara yang saya ingat di mana dalam halaqah kumpulan saya ada seorang adik yang berumur dalam lingkungan 8 tahun rupanya masih beragama Kristian yang dating bersama kakaknya yang sudah Islam. Seorang adik lagi bertanyakan soalan yang kadang-kadang kita tidak terfikir untuk datang dari seorang yang baru berumur 9 tahun. Katanya,”Ustaz, kalau orang Islam buat baik boleh masuk syurga, tapi kalau orang Kristian buat baik boleh masuk syurga juga kah?” Rupa-rupanya ibubapa anak ini masih belum memeluk Islam.
Program ini turut disertai oleh rombongan dari Klang yang diketuai oleh Hj.Ronney yang membuat liputan khas untuk forum perdana di mana ahli panelnya adalah Dr Ustaz Ann Wan Seng (MACMA), Prof. Dr Marlyna Maros (UKM), Dr Ustaz Ali Akbar Gulasan (UMS) dan S.S Mufti Sabah bagi majlis perasmian fasa ke II madrasah ATAQWA.

Kami amat mengharapkan sokongan seluruh umat Islam di Malaysia khususnya para Dato’, Datin, Tuan, Puan Muslimin dan Muslimat membantu program dakwah ini agar nikmat Iman dan Islam dapat dikecapi oleh bangsa lain.
Terima kasih kepada yang telah banyak menyokong dan menyumbang untuk kami terus berjuang dalam arena dakwah ini.
Ingatlah, orang bukan Islam bukan tak nak kepada Islam tetapi misi dakwah kita tak sampai sebab segelintir umat Islam tak berminat buat kerja dakwah, segelintir umat Islam tidak menunjukkan akhlak seorang Muslim dan saudara baru ini terbiar tanpa pembelaan, penemptan dan bimbingan.

Mereka ini dahagakan ilmu Islam

Rencana ATAQWA dan PERDIM seterusnya adalah membeli tanah dan membuat banguan utuk penemptan untuk pendidikan dan pentarbiyahan mereka ini agar menjadi kader kader dakwah pada masa akan datang. Moga akan lahirnya ulama-ulama di kalangan mereka ini untuk berdakwah kepada kaum mereka sendiri. Takbir..takbir..takbir..ALLAHU AKBAR!





Untuk sumbangan hubungi:
013-279 8938